Rabu, 30 April 2014

Hospital Kuala Lumpur

Teks: Ruslinda Abdul Jalil

Sudah lama saya tidak ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Banyak perubahan yang berlaku di persekitarannya. Ada bangunan sedang ditambabahbaik dan parking pun percuma. Keadaan di hospital memang sesak dengan orang dan kenderaan. Kalau tiada urusan atau sakit sudah tentu tiada yang mahu ke hospital kan, macam saya - takut ubat takut jarum, bau hospital pun seram!. 

Baru-baru ini saya terkena penyakit mata jadi terpaksa ke hospital untuk rawatan dan cuti sakit kerana tidak tertahan pedihnya, kepala pun rasa sakit. Bermacam petua dicari, ada yang suruh bubuh air susu badan dan sebagainya. Sabar Linda, Allah menurunkan sakit ini untuk menguji dan menyedarkan kealpaan saya. 

Seingat saya, Jabatan Pesakit Luar ini dahulunya terletak di bahagian dalam yang sama bangunan dengan Jabatan Kecemasan, tetapi sekarang Jabatan Pesakit Luar diubah berdekatan Masjid HKL dan Jabatan Pediatrik. Dulu ada palang parking dekat Masjid HKL ini, apabila hendak masuk ke kawasan HKL kena ambil tiket dahulu untuk membayar parking nanti. Tapi sekarang palang parking sudah tiada, parking pun tak kena bayar dah. 

Jabatan Pesakit Luar memang sentiasa ramai orang. Parking pun susah nak cari - berlapis-lapis. Mula-mula kena isi borang maklumat diri dulu. Kemudian kita serah semula borang itu di kaunter dan membayar RM1.00 untuk warganegara Malaysia. Anda akan ditanya jenis penyakit anda hari itu sebelum di beri nombor giliran. Tunggu sehingga nama / nombor giliran anda di panggil sementara mereka mencari fail anda (kalau pernah datang sebelum ini). Terdapat kaunter tekanan darah di luar setiap bilik rawatan. Ada 15 - 20 pintu bilik rawatan tetapi tidak semua bilik ada doktor. Kalau ramai doktor bertugas mungkin dapat mempercepatkan tempoh pesakit menunggu. 

Selepas jumpa doktor di bilik rawatan, anda diberi resit untuk ambil ubat di farmasi. Ikut petunjuk arah ke farmasi dan serah resit tadi di kaunter ubat untuk mengambil nombor giliran. Tunggu nombor anda sambil duduk di kerusi yang disediakan tetapi kerusinya terlalu rapat hingga sukar hendak berjalan keluar. Kasihan juga kepada warga emas yang terpaksa menunggu dan berdiri. Selepas mendapat ubat, sekiranya anda tidak tahu pemakaian ubat yang diberikan, anda akan dirujuk ke bahagian kaunseling untuk menerangkan cara menggunakan ubat tersebut.

Bila dah dapat ubat dan nasihat, anda balik rehatkan diri dan jangan lupa makan ubat yang dibekalkan supaya cepat sembuh. Insya Allah, kita hanya berusaha tetapi Allah jua yang menyembuhkan. 

Jumpa lagi.

Rabu, 23 April 2014

Bercuti Ke Sabah (Hari Kelima)

Teks: Ruslinda Abdul Jalil

Jika anda datang ke Kota Kinabalu Sabah, tempat yang mesti anda kunjungi adalah Pasar Pilipin yang terdiri daripada Pasar Kraftangan, Pasar Ikan Masin, Pasar Buah serta Pasar Besar ala-ala Pasar Payang Terengganu pun ada. Tempat ini bukan sahaja dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara malahan orang Sabah sendiri pun membeli di sini.

Pasar Kraftangan menjual mutiara, keronsang, cenderamata, beg, fridge magnet, keychain, t-shirt, barang perhiasan, hasil kraf tempatan, karangan laut dan berbagai lagi. Walaupun tawar-menawar tapi harganya masih mahal berbanding di Pasar Malam Sinsuran mungkin kerana tempat ini sudah dikenali ramai.

Pasar Ikan Masin pula menjual rumpai laut berwarna ungu dan hijau, ikan bilis, udang kering, sotong kering, kuih cincin, amplang (keropok), kopi Tenom dan berbagai lagi makanan kering. Saya membeli di kedai dalam #7, nama jurujualnya Carmina. Harga barang yang ditawarkan taklah murah sangat tetapi saya mahu membeli sebagai buah tangan kepada saudara mara dan rakan-rakan di Kuala Lumpur. Antaranya bilis A RM 18 sekilo, bilis kecil RM 25 sekilo, udang kering RM 35 sekilo, kuih cincin dan amplang RM 5 sebungkus, saya juga mencuba ikan pekasam Sabah yang berwarna kuning RM 5 sebungkus (ada 7 ekor ikan kembong kecil) dan banyak lagi.

Selepas memborong makanan kering di Pasar Ikan Masin, saya ke kedai mutiara Jamilah Jewellery di Kompleks Sinsuran bersebelahan Maju Curry House. Boleh dapat separuh harga kerana di sini kedai jualan borong dan yang penting semua barang perhiasan adalah mutiara asli sama ada mutiara air masin atau mutiara air tawar. Selain mutiara, ada juga produk kristal. Hmm, rambang mata dibuatnya.

Mutiara air masin berbentuk bulat dan harganya lebih mahal. Mutiara air tawar paling banyak di jual kerana lebih murah bergantung kepada jenis kraf yang dihasilkan. Mutiara air tawar juga di panggil mutiara jagung kerana bentuknya tidak begitu bulat seakan-akan biji jagung.

Jam 1.00 petang kami sudah berada di Lok Kawi Wildlife Park. Tiket bayaran masuk RM 10.00 dewasa dan RM 5.00 kanak-kanak. Saya nampak kereta tram di luar, ala keretapi zoo tu. Anak-anak pun seronok hendak naik tram macam di Zoo Negara tetapi rosak rupanya. Jadi kami terpaksa berjalan kaki untuk melihat hidupan liar di dalam taman. Tak banyak binatang di sini cuma yang menjadi tarikan adalah Proboscis Monkey berhidung besar tu.

Kemudian kami balik ke Kota Kinabalu untuk makan di Pasar Malam Sinsuran. Walaupun baru jam 4.00 petang orang sudah ramai. Terlalu banyak kedai makan untuk di pilih. Kami mahu makan lobster atau dipanggil udang kara. Gerai yang menjadi pilihan adalah Gerai Sri Samudra. Saya memilih lobster dan ikan kerapu. Kena timbang dulu barulah dimasak mengikut kemahuan pelanggan. Saya hendak cuba makan rumpai laut tetapi takut tak tertelan pula. Menu yang kami pilih adalah lobster masak cili dan kerapu tiga rasa serta minuman dengan harga RM 117.00.

ruslindajalil.blogspot.com
lobster yang manis.

Bila perut sudah kenyang, hati sudah senang kami pun menuju ke Lapangan Terbang Terminal 2 Kota Kinabalu kerana penerbangan ke Kuala Lumpur jam 9.30 malam. Dalam perjalanan saya menghubungi pemilik kereta untuk memulangkan kereta yang disewa. Bagusnya kereta Perodua Viva ini kerana jimat minyak, kami cuma mengisi sekali sahaja di Ranau.

Bagi anda yang bercadang membeli banyak barang, pastikan sudah membeli baggage lebih supaya tidak membayar 2x ganda di lapangan terbang nanti. Saya awal-awal lagi sudah membeli baggage untuk balik 60kg! Hambik, ye la cer fikir lepas shopping kan beg berat sebab beli buah tangan lagi, ikan bilis, ikan duyung eh! bukan, ikan masin, udang kering, t-shirt, kain baju basah dan macam-macam lagi la. Berkotak-kotak nanti terlebih berat macam mana? Tapi apabila ditimbang di lapangan terbang tak sampai pun 60kg cuma 44kg sahaja. Takpe buat persiapan awal supaya tenang fikiran.

Selesai sudah percutian saya bersama keluarga di Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Perbelanjaan selama 5 hari 4 malam disana untuk sewa kereta, hotel, makan, makanan ringan, minyak kereta, tiket masuk, tiket penerbangan pergi balik, buah tangan berkotak-kotak dan lain-lain berjumlah dalam lingkungan RM 4,000.00. Jika anda merancang untuk bercuti ke mana sahaja, mulakan menabung dari sekarang dan merancang perjalanan anda.

Jumpa lagi.

Isnin, 21 April 2014

Bercuti Ke Sabah (Hari Keempat)

Teks: Ruslinda Abdul Jalil

Mengikut rancangan asal kami sepatutnya bertolak ke Kudat hari ini tetapi terpaksa di batalkan kerana kami belum sempat melawat tempat di Ranau. Perjalanan ke Kudat akan mengambil masa selama 3 jam. Kalau anda berpeluang ke sana anda mesti pergi ke Simpang Mengayau atau dikenali sebagai Tip of Borneo - tanduk Sabah kerana kelihatan seperti tanduk jika di lihat dalam peta untuk melihat pertemuan Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Proses check-out dari homestay Sabah Baru Motel sangat mudah kerana pesan En. Ooi kalau tiada orang di depan rumah, tinggalkan kunci di peti pos sahaja.

Hari ini kami bersarapan di Ladang Teh Sabah. Namun perjalanan mendaki bukit ke Sabah Tea yang tidak berturap amat menyeksakan badan dan kenderaan juga. Di harap pihak pengurusan Sabah Tea dapat menambah baik jalan berbatu itu kepada jalan berturap. Anda jangan berharap untuk melihat pokok-pokok teh yang subur menghijau seluas mata memandang seperti di Cameron Highlands kerana disini tidak banyak pokok teh.

Kami memesan seteko teh saiz medium RM 8.00 bersama gula dan susu disediakan, nasi goreng seafood RM 12.00 dan tea pancake RM 11.00. Saya ingatkan macam pancake tepung segera tu rupanya dia buat piau guna pati teh, pahit dan berbau teh walaupun dimakan dengan madu. Dah la ada 4 keping saya cuma makan secubit sahaja dan suami ketawakan saya yang terkulat-kulat hendak menelan :-p. Dari meja makan kami, nampak la tanaman teh yang botak di sana sini, tak cantik macam di Cameron Highlands.
ruslindajalil.blogspot.com
Pancake yang sangat teh!
Turun dari Sabah Tea anda belok ke kiri sikit je dah sampai ke 'Tagal' Sg Moroli, Kg Luanti Baru, Ranau untuk bermain dengan ikan kelah yang jinak. 'Tagal' bermaksud tidak boleh menangkap ikan dalam dialek tempatan Kadazandusun. Bayaran masuk dewasa RM 5.00, kanak-kanak RM 2.00 dan kamera RM 3.00 untuk 15 minit rendam kaki. Kalau nak mandi bersama ikan RM 10.00 dikenakan. Makanan ikan pula dijual RM 0.20 sepeket tetapi tak boleh beli banyak takut ikan mati akibat terlebih makan. Dan, kalau ikan terlalu kenyang orang lain datang tak dapat bermain dengan ikan pulak kan.

Airnya cetek je tapi bila kita datang rendam kaki punyalah banyak ikan yang datang. Mungkin dia dapat bau makanan ikan yang kita bawa :-). Genggam makanan ikan 3-4 biji je dalam tangan kemudian rendam tangan ke dalam air. Ikan akan sedut tangan dan cuba dapatkan dedak dalam tangan anda itu. Geli seh!. Jangan buka tangan sehingga anda dapat usap-usap ikan tu. Ada ikan kelah, lampam dan 1-2 ekor ikan keli sesat. Gigitan ikan lampam rasa tidak selesa, bila terkena gigitan ikan lampam anak saya terus melompat hendak naik ke darat dia kata sakit ikan gigit. Jadi diorang berdua bermain dengan batu-batu sungai je la.
ruslindajalil.blogspot.com
Mama, ikan gigit abang!
Kemudian kami ke Poring Hot Spring. Bayaran masuk dewasa RM 3.00. Nasihat saya bagi anda yang mempunyai anak yang suka main air macam anak-anak saya, lebih baik bawa siap-siap tuala dan pakaian salin kerana selepas turun dari Canopy Walkway badan akan berpeluh dan anda mesti terliur hendak melompat ke dalam kolam mandi hahaha. Kalau hendak berpatah balik ke kereta memang letih dibuatnya. Di pintu masuk ada kaunter pemeriksaan tiket. Ada restoran, tandas, bilik persalinan, surau, kolam air panas dan kolam air biasa dewasa dan kanak-kanak. Berjalan naik anda akan sampai ke Butterfly Farm dan kalau hendak masuk kena bayar lagi RM 3.00 seorang dewasa. Tak banyak sangat rama-rama di sini, ada bilik pameran berhawa dingin yang menempatkan pelbagai jenis rama-rama dan serangga yang sudah diawet.

Keluar dari Butterfly Farm kalau anda terus ke depan ada Canopy Walkway dan Air Terjun Kipungit. Kami masuk ke Canopy Walkway dengan bayaran RM 3.00 seorang dewasa + RM 5.00 yuran kamera. Di pintu masuk ada tanda amaran kepada pesakit jantung dan darah tinggi. Bagi anda yang gayat pun jangan naik, nanti tak pasal-pasal ketar kaki tidak dapat berjalan atau pengsan. Anda akan berjalan kaki mendaki banyak anak tangga untuk sampai ke jambatan gantung yang merentasi pokok-pokok hutan dan pemandangan hijau. Letihnya hendak sampai ke jambatan gantung tu, boleh semput dibuatnya. Anda akan melintasi 4 platform jambatan yang di gantung pada pokok hutan sebesar 2-3 pemeluk. Di platform ke 3 ada petugas yang akan memeriksa tiket anda. Fuh! sebaik sahaja turun saya rasa tak berpijak tanah, bergegar kepala lutut.
ruslindajalil.blogspot.com
Tak takut diorang ni!
Anak-anak dah tak sabar nak mandi kolam. Sebaik sahaja turun diorang terus terjun ke dalam kolam. Airnya sejuk dingin, sekejap sahaja bibir sudah bertukar kebiruan. Kemudian saya mengajak suami dan anak-anak ke kolam air panas pula. Banyak bumbung kecil dibina dan di bawah setiap bumbung ada 4 buah kolam air panas yang berbau sulfur.

Kami mengejar masa sebelum hari gelap untuk ke Rumah Terbalik. Bayaran masuk RM 10.00 dewasa dan RM 5.00 kanak-kanak. Kalau tak nak masuk cuma hendak mengambil gambar di luar rumah RM 5.00 dikenakan. Anda akan disambut oleh petugas yang berkain batik. Sebelum rombongan pelanggan dibawa melawat ke dalam rumah, gong akan diketuk menandakan ketibaan. Anda akan diberi penerangan dan amaran larangan mengambil gambar dalam rumah dan di setiap sudut rumah ada cctv pemantau. Sekiranya tertangkap anda akan didenda. Pelan rumah ini biasa sahaja, ada ruang tamu bersambung dengan ruang dapur, balkoni, bilik utama dan satu bilik tidur. Semua perabot, perkakas elektrik, pakaian, buku, cicak mainan adalah terbalik. Katanya yang paling sukar untuk diterbalikkan adalah mesin jahit lama kerana sangat berat. Kos menyediakan Rumah Terbalik ini termasuk tapak tanahnya bernilai jutaan ringgit. Sekejap je dah selesai dan kami ke ruang bergambar yang dibenarkan diluar iaitu tandas, kereta dan kebun bunga yang semuanya terbalik. Saya membeli cenderahati untuk diri sendiri dan anak-anak sebagai kenang-kenangan.

Kami balik ke Kota Kinabalu dan singgah ke Pasar Malam Kampung Air untuk membeli cenderahati. Ada jual key-chain 8 pcs RM 10, fridge magnet, kerongsang, mutiara, beg, t-shirt dan barang perhiasan. Anda kena tawar-menawar barulah dapat harga terbaik. Kalau tak dapat pergi sahaja ke kedai lain. Memandangkan hari sudah malam dan kami pun sudah keletihan berada di luar sepanjang hari, saya terus sahaja mengambil keputusan menginap di Hotel Merdeka berharga RM 85.00 untuk triple bed yang terletak bersebelahan Pasar Malam Kampung Air. Namun hotel tangkap muat ini tidak memuaskan kerana keadaan bilik dan tandas yang comot serta kurang bersih. Suami saya mengajak berpindah ke hotel lain tetapi saya memujuk supaya tidak pedulikan kecacatan itu kerana bermalam sekadar untuk merehatkan diri dan melelapkan mata sahaja, esok dah nak balik ke Kuala Lumpur.

Sekiranya anda berada di Kota Kinabalu pada hari AHAD, anda boleh ke Pasar Gaya yang terletak di sepanjang GAYA STREET, macam pasar tani dibuka dari pagi hingga 12.00 tengahari. Jalan ini akan ditutup untuk peniaga tempatan menjual hasil laut, sayuran segar, kraftangan dan banyak lagi. Hendak membeli di sini anda mestilah pandai tawar-menawar.

Jumpa lagi.

Ahad, 20 April 2014

KERABU KACANG BOTOR

Teks: Ruslinda Abdul Jalil
Gambar: Google sini

Kerabu Kacang Botor

Semasa ke kedai ikan pagi tadi, saya ternampak kacang kelisa atau dikenali juga sebagai kacang botor. Terfikir hendak buat kerabu la. Menu ini saya belajar dari ibu mertua tersayang. Mudah dan cepat disediakan. Biasanya orang makan kacang botor ini begitu sahaja sebagai ulam cicah sambal belacan. Apa kata anda cuba menu ini:-

Bahan-bahan:

8 biji kacang botor - basuh dan hiris jangan nipis sangat
1 tin sardin kecil - buang kuahnya separuh dan isinya di hancur kasar
3 biji cili padi - di racik
2 ulas bawang merah kecil - di racik
1 sudu kecil perahan limau nipis
Garam secukup rasa

Cara-cara:
Campurkan semua bahan dalam mangkuk dan perasakan dengan garam. Gaul sekata. Dah siap! Boleh dimakan dengan nasi panas bersama ikan goreng dan sebagainya. Selamat mencuba.

Kalau balik ke rumah mertua, kebetulan ada pucuk putat maka kacang botor tadi digantikan dengan pucuk putat yang telah di hiris. Lepas tu lebihkan cili padi supaya pedas lagi, fuh! bertambah nasi pun tak sedar :-)

Jumpa lagi.

Sabtu, 19 April 2014

Bercuti Ke Sabah (Hari Ketiga)

Teks: Ruslinda Abdul Jalil

Jam 8.00 pagi kami dah check-out dari hotel dan berangkat ke Kundasang. Perjalanan memakan masa 3 jam atau lebih kerana kami singgah di beberapa tempat untuk mengambil gambar kenangan.

Kami terlepas pandang Rumah Terbalik yang terletak di sebelah kiri jalan sebelum simpang ke Pekan Tamparuli jadi kami terus ke Jambatan Tamparuli. Anda akan nampak dua buah jambatan, satu jambatan konkrit untuk laluan kenderaan dan satu lagi yang tergantung sebelah kiri itulah Jambatan Tamparuli. Jambatan konkrit untuk laluan kenderaan. Sekiranya ada kenderaan dari arah depan kita kena tunggu hingga kenderaan yang terakhir barulah kita boleh jalan kerana laluannya sempit.

Menurut cerita, jambatan gantung ini bukanlah yang asal dan sudah lama runtuh akibat banjir besar. Jambatan baru ini dibina menggunakan besi pada keseluruhan bahagian kecuali lantai masih dialas kayu. Namun ada beberapa bahagian lantai kayu yang sudah reput dan berlubang, keadaan ini berbahaya jika orang yang lalu tidak perasan dan terpijak bahagian itu. Kemudian kami bersarapan di Restoran Umi berdekatan jambatan. Saya meminta nasi goreng kampung dengan taburan ikan bilis kecil goreng. Sedap bah. Di sekitar Pekan Tamparuli ini ada orang berjual macam pasar pagi, ada kedai runcit dan kedai menjual hasil laut.

Apabila meneruskan perjalanan, anda boleh singgah ke Bundu Tuhan jika ingin menikmati suasana perbukitan. Di sepanjang perjalanan kami dapati banyak gereja dan anjing berkeliaran. Anda akan jumpa beberapa kedai makanan panggang tetapi berhati-hati kerana mereka menjual 'sinalau bakas' iaitu babi hutan panggang. Sampai di Pekan Nabalu suami saya merakamkan gambar persekitaran yang berbukit-bukau dan nampak sayup jalanraya di bawah bukit sementara saya pula mencuci mata dengan kedai cenderahati yang kebanyakannya menjual 7 pcs keychain = RM 10, gelang manik, beg, t-shirt dan jangan lupa membeli nenas di sini kerana buahnya sangat manis. Patutlah ada replika nenas yang besar di hadapan kedai cenderahati.

Kami sampai di Taman Kinabalu hampir jam 12.00 tengahari. Bayaran masuk di kenakan RM 3.00 bagi seorang dewasa dan simpan tiket ini untuk mendapat pengecualian bayaran masuk ke Poring Hot Spring pada hari yang sama ye. Kalau esok baru pergi Poring Hot Spring kena beli tiket baru di sana. Hajat hati hendak melihat puncak Kinabalu tetapi kabus tebal. Kata seorang pakcik sukarelawan di Timpohon View, kalau hendak melihat puncak Gunung Kinabalu waktu yang paling jelas adalah antara jam 6 - 8 pagi kerana cuaca terang dan tidak berawan. Selepas dari waktu itu gunung akan diselaputi kabus.

Timpohon View adalah tempat pendaki masuk untuk memulakan pendakian. Bagi yang tidak mendaki macam saya ni tak boleh masuk. Kami naik ke pelantar kayu yang di bina untuk melihat suasana gunung. Tapi hanya nampak pokok-pokok sekeliling je sebab kabus tebal, cuaca pun macam nak hujan. Anda akan jumpa tupai yang jinak mengambil makanan dari tangan anda jadi bawalah makanan ringan. Anak saya teruja memberi tupai itu makan buah epal tetapi terlepas dari tangan. Semasa menggunakan tandas, air paip di sini sejuk macam ais!. Di luar Taman Kinabalu ada tempat parking yang luas dan jika kita ambil gambar dari situ kita dapat lihat Gunung Kinabalu dengan jelas jika cuaca tidak berkabus.

ruslindajalil.blogspot.com
Muka seronok dan takut :-)
Apabila sampai ke Pekan Kundasang kami terus ke Desa Dairy Farm untuk melihat ladang lembu dan proses memerah susu. Perjalanannya agak mencabar kerana mendaki bukit. Tetapi pemandangan di sini sangat cantik berlatarbelakang bukit-bukau yang menghijau, orang kata ala-ala New Zealand gitu! walaupun menusuk bau lembu dan najisnya. Bayaran masuk yang dikenakan seperti dalam gambar. Sekurang-kurangnya jam 2.30 - 3.00 petang anda mesti sampai ke sini supaya tidak ketinggalan melihat proses memerah susu lembu. Punya la ramai orang sampai kami tidak sempat merasa susu segar Desa Dairy Farm, yang tinggal hanya dadih dan aiskrim susu berperisa. Semua susu sudah habis dijual! :(.
ruslindajalil.blogspot.com
Bayaran Desa Dairy Farm

Kemudian anda boleh ke Kundasang War Memorial yang terletak di bahagian belakang deretan kedai Pekan Kundasang untuk melihat tugu peringatan askar-askar Australia dan British yang ditawan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Petikan yang tercatat pada tugu peringatan yang dipamerkan di pintu masuk tugu:-

"Semasa Perang Dunia Kedua, tawanan perang tentera Australia dan British dipenjarakan di Sandakan oleh pihak tentera Jepun. Tawanan perang pertama tiba dari Singapura dan mereka dipaksa untuk membina landasan kapal terbang tentera Jepun pada bulan Julai tahun 1942 dan menjelang pertengahan tahun 1943 lebih dari 1800 orang tawanan perang Australia dan 750 orang British menjadi buruh paksa di kem tahanan ini". Sumber dari sini kerana saya tidak singgah ke Kundasang War Memorial. Di Pekan Kundasang saya membeli sayap ayam yang sedap dengan harga RM 1.80 setiap satu. Saya beli 10 ketul untuk diratah sampai malam. Kedainya terletak di luar kedai nasi ayam.

Saya melalui pasar sayuran di Pekan Kundasang yang menjual macam-macam sayuran segar. Suasana macam di pasar Cameron Highlands. Ada jual kerepek bayam, buah mentega, jeruk, buah-buahan dan banyak lagi. Kalau kena musim anda cuba tanya buah TARAP ala-ala rasa durian dan cempedak.

Kami meneruskan perjalanan ke Ranau untuk makan malam dan menginap di homestay Sabah Baru Motel dengan harga RM 88.00. Homestay ini diusahakan oleh penduduk Kampung Kiaburi dan pemiliknya En. Ooi tinggal di rumah sebelah sahaja. Beliau menjemput kami di Pekan Ranau dan membawa kami ke homestay tersebut. Anak-anak pun sudah keletihan dan mula buat perangai cantik.

Tenaga badan, bateri telefon dan kamera perlu dicaj semula untuk meneroka hari esok.

Jumpa lagi. 

Khamis, 17 April 2014

Bercuti Ke Sabah (Hari Kedua)

Teks: Ruslinda Abdul Jalil

Semua orang tahu di Sabah ni waktu siangnya lebih cepat daripada Semenanjung. Seawal 4.50 pagi dah azan Subuh, jam 6.00 pagi hari dah cerah. Liat jugak nak bangun pagi, tengok jam awal lagi tapi cuaca dah terang. Memulakan hari kedua di Kota Kinabalu, kami sarapan pagi di Medan Selera Anjung Senja berhadapan Sedco Complex kemudian posing-posing di replika ikan todak untuk mengambil gambar. Selepas itu barulah kami ke Jesselton Point iaitu jeti untuk ke Taman Tunku Abdul Rahman yang terdiri daripada tiga buah pulau -  Pulau Sapi, Pulau Mamutik dan Pulau Manukan.

Bila masuk ke dalam jeti ada banyak kaunter tiket untuk ke pulau berkenaan. Anda boleh tanya harga di setiap kaunter dan bandingkan. Tanya apa yang mereka tawarkan. Saya memilih Aparu Holiday Tours di kaunter #8. Saya tak cerewet sangat dan setuju dengan pakej yang ditawarkan, boleh dapat diskaun lagi. Kata petugas Aparu Holiday Tours untuk keluarga dengan anak kecil sesuai ke Pulau Sapi kerana pantainya landai dan luas untuk bermain. Bayaran yang dikenakan untuk saya sekeluarga berjumlah RM 268.00 termasuk perkara berikut:-

Tambang bot ke 1 pulau (Pulau Sapi) 2 dewasa + 2 kanak-kanak
Cukai perkhidmatan
Caj terminal RM 7.20 x 2 dewasa dan RM 3.60 x 2 kanak-kanak
Sewa jaket keselamatan RM 5.00, goggle snorkeling RM 10.00 dan tikar RM 5.00
Makan buffet tengahari 2 dewasa + 2 kanak-kanak
Caj masuk pulau RM 3.00 x 2 dewasa (bayar apabila sampai di pulau)

Secara amnya tambang bot untuk Island Hopping ke Taman Tunku Abdul Rahman:-
RM 23 untuk 1 pulau, kanak-kanak RM 18
RM 33 untuk 2 pulau, kanak-kanak RM 23
RM 43 untuk 3 pulau

Kami sampai ke Pulau Sapi pada jam 9.00 pagi dan orang sudahpun ramai. Kalau anda hendak berkelah boleh bawa bekalan sendiri atau beli siap-siap di jeti kerana barang makanan di pulau lebih mahal termasuk juga sewa peralatan snorkeling. Kami menikmati keindahan laut yang jernih dan ikan-ikan yang jinak. Subhanallah, indahnya ciptaan Allah SWT. Suami saya pandai berenang jadi dia pergi ke tengah laut untuk snorkel ikan-ikan yang lebih besar dan berwarna-warni.

Jam 12.00 tengahari kami ke meja yang dikhaskan kepada pelanggan Aparu Holiday Tours untuk hidangan makan tengahari. Menu yang disediakan adalah nasi goreng, maggi goreng, ikan bakar, ayam bakar, sotong bakar, udang bakar, ketam bakar, sayur campur dan salad ayam. Air coca-cola, sirap dan ais berasingan manakala pencuci mulut pula agar-agar pandan, agar-agar mangga dan beberapa jenis kuih serta buah tembikai dan betik. Kami sekeluarga je muka tempatan makan di situ, yang lain muka dari China, mat saleh dan Timur Tengah kerana kebanyakan orang tempatan membawa bekalan sendiri.

Kami berjemur hingga jam 4.00 petang! badan dah kecut kulit dah terbakar, itupun masih rasa tidak puas bermain pasir dan air laut. Yang tak bestnya di pulau ini adalah tempat mandi untuk persalinan adalah open air, secara terbuka. Orang boleh nampak kita mandi di bawah pancuran, macammana nak gosok-gosok badan nak buang pasir yang melekat di celah-celah badan? Lepas mandi di bawah kena naik tangga ke bilik persalinan,  tiada tempat mandi kat atas tu. Tandasnya pula cuma 2 pintu sahaja. Di harap pihak pengurusan pulau dapat menyediakan tempat mandi yang tertutup untuk menjaga aurat dan keselesaan pengguna Muslim. Surau disediakan tetapi tempat wuduk tiada, kena ambil wuduk di pancuran mandi tadi :(

Kami balik ke jeti Jesselton Point dengan bot yang terakhir jam 5.00 petang dalam cuaca hujan. Kalau tertinggal bot yang terakhir ini alamatnya bermalam di pulau la hahaha. Tak nak! Kat situ ada babi hutan dan biawak besar. Bebas je berkeliaran mencari makan. Walaupun ada penghadang di kawasan lopak tempat binatang ini melepak tetapi bila tiada orang, binatang ini keluar menyelongkar sampah.

Semasa mengambil kereta di hadapan jeti, kami dapati ada kertas terselit di bingkai wiper. Alamak! kena saman pulak. Tapi sebenarnya itu adalah kupon parking. Ada lubang-lubang yang ditepuk pada kertas itu mewakili setiap jam. Takpe jangan risau, bawa kupon itu ke pejabat Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan bayar jumlah yang dikenakan. Saya parking hampir 9 jam kena caj RM 13.05. Menurut petugas di kaunter, memang ada anggota Bandaraya yang meronda di kawasan meletak kenderaan dan meletakkan kupon parking kerana di Sabah tidak ada meter parking macam di Semenanjung. Patutlah suami saya kata dia tidak jumpa meter parking semasa meletakkan kereta pagi tadi.

Kemudian kami balik ke hotel untuk membersihkan diri dan berehat sementara menunggu hujan sereyat. Kami keluar makan malam di Medan Selera Anjung Senja lagi tetapi di kedai Lot 10 kerana saya teringin makan pisang cheese yang digembar-gemburkan manakala suami dan anak-anak makan nasi putih dan sotong masak pedas. Makanan laut yang dipamerkan kita boleh pilih dan ditimbang dahulu sebelum dimasak mengikut kemahuan pelanggan. Cadangan hendak melihat matahari terbenam di Tanjung Aru dan menonton pertunjukan air pancut berirama di Taman Perdana terpaksa dibatalkan kerana anak-anak dah mengantuk dan keletihan kerana bermain air.

Tanjung Aru dan Taman Perdana terletak berhampiran Lapangan Terbang Terminal 2 Kota Kinabalu. Taman Perdana ini macam taman rekreasi biasa ada orang jogging dan permainan kanak-kanak. Pertunjukkan air pancut berirama ni diadakan setiap malam sebanyak 4 kali:-
  • 7.00 malam - 7.10 malam
  • 7.30 malam - 7.40 malam
  • 8.00 malam - 8.10 malam
  • 8.30 malam - 8.40 malam
Setakat ini dahulu.

Jumpa lagi.

Selasa, 15 April 2014

Bercuti Ke Sabah (Hari Pertama)

Teks: Ruslinda Abdul Jalil

Cerita ini ditulis berdasarkan pengalaman saya melancong ke Sabah. Bagi anda yang pernah ke Sabah, pengalaman anda mungkin berbeza daripada penceritaan saya. Itu pengalaman masing-masing kan. Selamat membaca.

Penerbangan kami pada 27/03/2014 jam 10.20 pagi dari LCCT Sepang. Jadi kami harus berada di airport sekurang-kurangnya 2 jam sebelum penerbangan untuk urusan check-in bagasi dan sarapan. Malam tu tak boleh tidur sebab teruja nak ke Sabah! Pagi tu saya bangun jam 5.30 pagi untuk siapkan anak-anak dan periksa barang yang patut di bawa. Mujurlah jiran sebelah rumah, Syafiq dan Nadia tolong hantar kami ke LCCT jadi kami tidak perlu tinggalkan kereta di parking LCCT atau naik teksi yang tambangnya tentulah lebih dari RM 50.00 (isi minyak kereta lagi berbaloi).

Perjalanan dari rumah saya ke LCCT memakan masa 1 jam, boleh juga terlelap dalam kereta kalau tak di bawa berbual. Nasib baik Syafiq dan Nadia tahu selok-belok urusan di kaunter LCCT, saya mana tau!. Mula-mula kena scan dulu semua beg yang di bawa, mana tahu ada bawa cecair bahaya ke, mercun ke, budu ke :) kalau pecah botol nanti satu kabin semerbak bau. Kemudian pergi ke kaunter pemeriksaan tiket dan timbang beg. Saya dah beli baggage siap-siap sebanyak 20kg. Kalau beg anda terlebih berat maka bersedialah untuk mengeluarkan duit poket kerana bayaran di kaunter lebih mahal 2x ganda daripada harga online. Malam sebelum perjalanan anda timbang dulu beg-beg tu. Alah, guna je penimbang berat badan tu ha! Dan lagi satu, anda buat sendiri web check-in di laman web AirAsia dan cetak boarding pass tu. Kalau tidak kena cetak di pejabat AirAsia dan akan dicaj RM 2.00 setiap seorang dalam boarding pass tu.

Selesai urusan bagasi, kami bersarapan di McDonalds untuk mengalas perut. Kedai makan yang lain pun ada di LCCT tapi anak-anak kalau nampak McDonalds je memang berhantu, sebab nak makan kentang goreng. Tapi pagi-pagi ni mana ada kentang goreng, hash browns adalah. Padahal dalam flight nanti pun saya ambil set makanan, dasar perut stokin kan!. Bila perut dah kenyang kami pun masuk ke balai polis eh! balai berlepas. Anda hendaklah letak beg tangan, beg bimbit, dompet, telefon dan buka tali pinggang serta semua barang dalam poket ke dalam bakul yang disediakan untuk di imbas dan tubuh anda akan diperiksa oleh polis bantuan (mengikut jantina masing-masing) untuk mengesan barang terlarang. Tunggu panggilan penerbangan anda. Kalau ambil AirAsia Travel Insurance semasa menempah tiket, apabila flight delay melebihi 2 jam pihak insuran akan membayar RM200 seorang.

Apabila sampai ke Terminal 2 Kota Kinabalu, hujan sedang turun dengan merdunya menyambut ketibaan kami. Ada kaunter khas untuk warganegara Malaysia dan warga asing. Di kaunter itu nanti petugas Imigresen akan minta kita tunjukkan Mykad dan Mykid untuk dapatkan pas lawatan selama 90 hari. Jaga elok-elok pas tu, kalau hilang nanti jadi warga asing tau hehehe :p. Kami terus dapatkan Encik kereta yang sedang menunggu dan mulalah menjelajah bandar Kota Kinabalu. Untuk makluman, jalanraya di sini banyak bulatan. Untuk mencari hotel penginapan iaitu Hotel Hii-5 di Jalan Laiman Diki berdekatan Kampung Air, lima kali pusing baru jumpa sebab hotel tu terletak dalam kawasan rumah kedai. Masa check in hotel boleh je bayar deposit dulu tapi saya terus bayar habis supaya senang urusan. Biliknya bersih dan selesa. Cuma di kaunter depan hotel agak becak dan kotor bila orang keluar masuk kerana tidak diletakkan pengelap kaki.

Di sebabkan hujan belum berhenti, kami berehat sahaja di bilik dan keluar jam 7.30 malam sebab perut lapar. Kami berjalan kaki ke Restoran Sempelang di hujung jalan berhadapan Centrepoint. Kami order nasi putih, ikan putih bakar, tomyam seafood dan baby kailan. Harganya berpatutan tapi masakannya tak kena dengan selera kami sebab tak pedas, makanan pun tak habis setakat mengalas perut je. Lagipun orang Sabah tak makan pedas. Mereka suka makan sup, semuanya di makan dengan sup. Selepas makan cadangnya nak meronda Pasar Malam Kampung Air nak cari cenderahati / t-shirt dan Pasar Malam Sinsuran untuk makan seafood. Tapi tak jadi kerana hujan masih belum berhenti. Saya bimbang anak-anak ditimpa demam sebab esok nak pergi mandi laut. Yea yea mandi laut :).

Dalam perjalanan balik ke hotel, saya singgah beli losyen sunblock di kedai Serbaneka Orange 24 jam. Di Kota Kinabalu ni memang banyak kedai Serbaneka Orange 24 jam, ala-ala 7-Eleven jugak. Sampai di hotel sementara nak mengantuk, kami sekeluarga boleh bedal biskut dan maggi cup pulok hahaha. Hujan la wei, lapar!

Oh ya, bagi pekerja di jabatan kerajaaan ada sesetengah hotel yang menyediakan government rate. Jadi anda kena tanya hotel berkenaan dan bawa salinan slip gaji dan kad pengenalan untuk mendapatkan potongan harga.

Jumpa lagi.

Ahad, 13 April 2014

Panduan bercuti ke Sabah

Teks: Ruslinda Abdul Jalil.


Salam ceria kepada pembaca. Terima kasih kerana sudi singgah ke blog saya.

Saya akan ceritakan pengalaman bersama keluarga bercuti ke Sabah Negeri Di Bawah Bayu pada 27 - 31 Mac 2014 (5 hari 4 malam). Diharap dapat menjadi panduan atau memberikan idea kepada anda yang bercadang hendak bercuti ke Sabah. Bab satu ni saya akan cerita tentang proses / rancangan sebelum menaiki penerbangan.

Tiket penerbangan AirAsia Now Everyone Can Fly telah saya tempah 3 bulan lebih awal secara online. Tambang 2 dewasa dan 2 kanak-kanak (4 dan 5 tahun) termasuk semua cukai, makanan dalam penerbangan dan bagasi berjumlah RM 1,107.00 (tak lah murah sangatkan!). Katanya kalau hendak dapat harga tiket murah, kita kena rajin survey laman web AirAsia dan rancang perjalanan dalam masa setahun atau 6 bulan sebelum tarikh perjalanan.

Dalam pada itu saya survey hotel untuk menginap kerana saya bercadang 2 malam di Kota Kinabalu, 1 malam di Kundasang / Ranau dan 1 malam di Kudat. Tetapi kita hanya merancang dan Allah SWT yang menentukan. Perjalanan bersama anak kecil agak perlahan dan memenatkan. Tidak semua tempat yang dirancang dapat kami singgah. Namun ada kepuasan kerana saya dapat menjejakkan kaki ke Negeri Di Bawah Bayu dan membawa suami serta anak-anak menaiki kapal terbang buat kali pertama!.

Percutian bersama keluarga ini adalah secara sederhana sahaja. Kami tidak menginap di hotel mewah. Yang penting hotel bersih dan selesa untuk melelapkan mata, percutian bajet la katakan!. Saya telah menempah Hotel Hii-5 di Kota Kinabalu melalui Booking.com untuk 2 malam. Tidak perlu bayar apa-apa lagi, sekadar mengisi maklumat yang dikehendaki Booking.com dan kita perlu bayar apabila mendaftar masuk hotel nanti. Saya suka konsep begini kerana kita rasa tenang jika mahu buat perubahan. Bayaran yang dikenakan untuk 2 malam di Hotel Hii-5 berjumlah RM 196.00.

Pengangkutan sepanjang berada di Sabah juga perlu di aturkan. Pilihan di tangan anda sama ada meminjam kereta kenalan di sana, sewa kereta, naik teksi / bas atau berjalan kaki! (gile kau! ingat marathon ke? boleh tercabut kaki dan putus nafas masa nak naik bukit-bukit di sana). Bas kat Sabah comel -comel sebab pendek!. Untuk memudahkan kami hendak ke mana-mana tanpa menunggu atau tertunggu-tunggu, kami telah menyewa kereta Perodua Viva dengan bayaran RM 80 x 5 hari = RM 400. Pemilik kereta telah dihubungi dan kami meminta kereta di hantar ke Lapangan Terbang Terminal 2 Kota Kinabalu jadi apabila kami mendarat je terus boleh naik kereta pusing bandar KK :).

Saya juga mengatur tempat-tempat yang hendak dilawati. Saya buat jadual supaya tidak bazirkan masa untuk berfikir ke mana hendak dituju apabila sampai di Sabah nanti. Antara aturcara yang dicadangkan:-

27/03/2014 (Khamis)

10.00 pagi  - naik penerbangan AirAsia di LCCT Sepang
1.00 ptg      - sampai ke Terminal 2 Kota Kinabalu
2.00 ptg      - daftar masuk hotel
                   - Menara Tun Mustapha mercu tanda Sabah
                   - Universiti Malaysia Sabah (UMS)
                   - Taman Buaya Tuaran
                   - 1Borneo
                   - Gayang Seafood Restaurant
                   - kelapa bakar / lokan bakar / puding kelapa di Sepanggar
6.00 ptg      - Atkinson Clock Tower
                   - Pasar Malam Kampung Air
                   - Pasar Malam Sinsuran

28/03/2014 (Jumaat)

8.00 pagi - Jesselton Point untuk Island Hopping (Manukan, Sapi dan Mamutik)
5.00 ptg   - balik ke daratan
                - Tanjung Aru
                - menonton air pancut berirama di Taman Perdana
                - cari makan malam di sekitar Sinsuran, TLC Anjung Selera, medan selera
                  Anjung Senja, medan selera Anjung Perdana, 1Borneo dsb.

29/03/2014 (Sabtu)

8.00 pagi - daftar keluar hotel dan menuju ke Kundasang
                - Rumah Terbalik
                - Jambatan Tamparuli
                - Pekan Nabalu
                - Bundu Tuhan
                - Taman Kinabalu
                - Pekan Kundasang
                - Kundasang War Memorial
3.00 ptg   - Desa Dairy Farm
                - Pekan Ranau
                - Poring Hot Spring
                - Ikan Kelah Kampung Luanti
                - Sabah Tea

30/03/2014 (Ahad)

7.00 pagi - daftar keluar hotel dan menuju ke Kudat
                - Meranjak Longhouse
                - Simpang Menggayau Tip of Borneo
                - Pekan Tomborungus
                - Rumah Panjang Runggus Kampung Bavanggazo
                - Kampung Sumangkap Gong Factory
                - Borneo Honey Bee Centre
                - mandi laut

31/03/2014 (Isnin)

7.00 pagi     - balik ke Kota Kinabalu
                    - Muzium Sabah
                    - Monsopiad Cultural Village
                    - Lok Kawi Wildlife Park
                    - Pasar Pilipin
                    - Jamilah Jewelery (House of Pearl)
9.00 malam - penerbangan balik ke Kuala Lumpur

Senarai ini adalah cadangan saya sahaja tetapi banyak tempat yang tidak sempat saya pergi kerana kesuntukan masa dan tenaga. Okeylah, setakat ini dahulu, nanti saya ceritakan tentang tempat-tempat yang saya lawati di Sabah.

Jumpa lagi.

Sabtu, 12 April 2014

Pengalaman

Bismillah hirrahman nirrahim.

Saya mahu kongsikan pengalaman kerja yang pernah saya lakukan. Bukanlah kerja yang hebat tetapi saya belajar menghargai wang titik peluh dan bijak berbelanja.

Selepas SPM tahun 1996, keputusan saya tak cemerlang sangat tapi masih memenuhi syarat untuk sambung belajar di IPT awam. Namun bila saya mohon IPT awam, yang membalas tawaran adalah IPT swasta. Abah saya tak mampu nak sediakan yuran pendaftaran IPT swasta masa tu sebab kena tanggung anak-anak lain yang masih bersekolah dan yang masih kecil. Masa tu saya baru 7 beradik tapi sekarang ni tahun 2014 saya dah ada 12 beradik. Fuh, riuh-rendah! akak yang sulung tau.

Jadi saya pun bawa diri menceburi pekerjaan pertama sebagai krew McDonalds di Sungai Petani. Pengurus ajar supaya respon kepada semua komunikasi yang berlaku dalam McD tu, contohnya kalau ambil ayam yang terakhir atas tray kena bagitau orang dapur 'PC two pieces out, zero' supaya orang dapur tahu ayam goreng dah habis dan akan penuhkan semula tray tu atau goreng yang lain. Dan orang dapur pun kena respon dengan menjawab 'thank you'. Seronok sebab pengalaman pertama alam pekerjaan kan, rasa bersyukur terima duit gaji dan rasa bagaimana penat lelah menggunakan tulang empat kerat untuk mendapatkan wang. Tapi tak kerja lama pun, tiga bulan kemudian saya berhenti.

Melepak di rumah sekejab, bila rasa boring saya pergi kerja kilang di Taman Perindustrian Bakar Arang iaitu kilang sarung tangan, kilang telefon, kilang pemasangan televisyen, kilang kasut roda (bahagian moulting-panas giler dalam tu). Semua tempat ni tak tahan lama juga, lepas 1-2 bulan berhenti lagi. Apa nak jadi dengan hang ni Linda!.

Kemudian saya dan seorang kawan bernama Arzylina pergi temuduga pramugari MAS yang diadakan di sebuah hotel di Pulau Pinang. Selepas pemeriksaan fizikal dan berat badan, tapi saya tak lepas tang umur. Kakak cantik tu cakap 'minta maaf dik, tahun depan cuba lagi ye sebab adik belum cukup umur. Kami memerlukan 18 tahun ke atas sahaja'. Kecewa sungguh walaupun saya merayu sebab ada 2-3 bulan je lagi saya sampai umur 18 tahun (saya lahir bulan November) tapi tak dilayan sebab itu prosedur MAS.

Memang dah disusun oleh Allah SWT, di hotel yang sama ada temuduga pekerja baru untuk cawangannya di Cameron Highlands. Saya pun mencuba nasib dan di temuduga oleh Mr. Ong. Saya dan kawan saya tu dapat jawatan receptionist di sana. Wah, teruja sangat nak kerja di tempat sejuk :). Tapi bila sampai masa nak pergi, kawan saya kata mak dia tak bagi sebab takut jadi pelik-pelik. Masa tu mak dia ingat Cameron Highlands sama macam Genting Highlands kononnya tempat berpoya-poya. Saya pun fikir macam tu tapi saya tawakal dan berdoa supaya dilindungi Allah. Jadi berangkatlah saya seorang diri merantau ke negeri orang. Naik bas ekspres Kurnia Bistari yang lusuh tu. Seram! Dah la ikut jalan bengkang-bengkok kat Tapah tu. Namun bila nak dekat bulan puasa saya berhenti kerja sebab bos kata hari raya tak boleh cuti kerana saya kerja tak sampai 3 bulan. Oh tidak! saya tak mahu menangis dengar takbir raya :)

Menganggur lagi saya. Kemudian terlihat iklan sebuah syarikat berhampiran rumah di Sungai Petani memerlukan Eksekutif Jualan. Saya ingatkan kerja dalam pejabat, eksekutif kan! (itu pemahaman saya dulu) rupanya kena keluar buat jualan. Ala, macam jurujual yang datang kat kita masa tengah makan kat kedai tu. Nak ke sesuatu lokasi untuk menjual barang kena naik van ramai-ramai. Hari pertama keluar jual buku kanak-kanak di Alor Setar dan hari kedua pergi jual wiper kereta di Taman *** Pulau Pinang. Dapat la upah RM10 sehari x 2 hari = ?. Penat tau keluar dari pagi sampai petang baru balik tapi dapat komisen ciput, sebab budak baru belajar kan tak banyak jualan. Tapi dah taubat tak nak kerja macam tu lagi, letih sangat.

Dengan duit simpanan daripada kerja-kerja yang pernah dilakukan tu, saya masuk kelas sepenuh masa Sijil Komputer Microsoft di Institut Hasani. Kat Sungai Petani memang top Institut Hasani sebab dia ada gedung buku (semua jenis buku ada), alatulis, kursus komputer, kursus kahwin dan macam-macam lagi. Masa sekolah dulu suka sangat bila ada Pesta Buku Hasani sebab jualan buku murah-murah.

Selepas graduate (chewah!) selepas tamat kelas komputer, saya tak duduk diam. Saya pergi kerja sebagai juruwang di supermarket PTK. Tak lama jugak!. Lepas tu saya tolong abah dan umi berniaga di pasar malam Taman Keladi, Taman Bakar Arang, Taman Nilam dll. Umi orang Terengganu dan pandai buat laksam, jadi kami menjual laksam, laksa, nasi kerabu dan air. Tapi saya ni pemalu orangnya. Malu nak panggil orang datang membeli 'mai mai kakak abang, laksam ada laksa ada nasi kerabu ada ayaq pun ada!' :-p

Semasa bekerja juruwang di supermarket PTK, ada seorang kakak ni anak pegawai di sebuah jabatan kerajaan. Nama dia Sharbalinda bt Abu Bakar. Dia galakkan saya pergi temuduga di jabatan kerajaan yang diadakan di pekan Sungai Petani. Saya pun mencuba nasib dan berserah kepada Allah SWT. Hampir setahun juga barulah saya menerima tawaran untuk menjalani latihan dan seterusnya bekerja sampai sekarang.

Itulah pengalaman kerja yang pernah saya lakukan. Pengalaman ini saya jadikan kenangan dan iktibar. Bukan semua yang kita impikan akan menjadi kenyataan kerana Allah SWT akan sentiasa memberikan ujian kepada kita untuk menegur kealpaan semasa kita selesa dengan nikmat dunia dan terlupa kepadaNYA.

Jumpa lagi.

Jumaat, 11 April 2014

Pengenalan Diri


Bismillah hirrahman nirrahim,

Salam perkenalan kepada pembaca, semoga hari anda ceria dan bersemangat menempuh duniawi ini yang dipinjamkan oleh ALLAH SWT.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mentor saya, Pn. Anys Idayu Zakaria kerana dengan tunjuk ajar beliau maka blog sulong saya ini terhasil. Senang je rupanya, klik klik dah jadi blog. Cuma pengisiannya saya masih belajar dan memerlukan tunjuk ajar mentor.

Nama saya Ruslinda bt Abdul Jalil, boleh panggil Linda. Suri kepada suami yang disayangi Asmadi bin Che Hassan dan mama sepasang cahayamata penawar duka Asma Rusyaidi dan Asma Rusydina. Sekarang masih bekerja di jabatan kerajaan di Kuala Lumpur. Saya bekerja di sini hampir 15 tahun. Ini pekerjaan yang paling lama saya bertahan.

Saya dilahirkan di Johor Bahru tetapi dibesarkan di Sg. Petani Kedah hingga tamat SPM. Disebabkan saya anak seorang pesara tentera, saya pernah merantau ke beberapa buah sekolah iaitu Negeri Sembilan (Tadika), Kedah (darjah 1-4), Perak (darjah 5-6) dan Kedah semula (tingkatan 1-5). Saya pernah belajar di Uitm Shah Alam (Pentadbiran Awam) tapi terhenti separuh jalan atas sebab tertentu. Bila kerja bertambah dan anak pun bertambah, saya malas nak sambung belajar lagi. Bagi adik-adik yang masih muda, jangan ikut malas macam akak tau. Belajar selagi mampu tenaga dan mampu kawal belanja. Nanti saya ceritakan pengalaman kerja yang pernah saya lakukan.

Jumpa lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...