Khamis, 17 April 2014

Bercuti Ke Sabah (Hari Kedua)

Teks: Ruslinda Abdul Jalil

Semua orang tahu di Sabah ni waktu siangnya lebih cepat daripada Semenanjung. Seawal 4.50 pagi dah azan Subuh, jam 6.00 pagi hari dah cerah. Liat jugak nak bangun pagi, tengok jam awal lagi tapi cuaca dah terang. Memulakan hari kedua di Kota Kinabalu, kami sarapan pagi di Medan Selera Anjung Senja berhadapan Sedco Complex kemudian posing-posing di replika ikan todak untuk mengambil gambar. Selepas itu barulah kami ke Jesselton Point iaitu jeti untuk ke Taman Tunku Abdul Rahman yang terdiri daripada tiga buah pulau -  Pulau Sapi, Pulau Mamutik dan Pulau Manukan.

Bila masuk ke dalam jeti ada banyak kaunter tiket untuk ke pulau berkenaan. Anda boleh tanya harga di setiap kaunter dan bandingkan. Tanya apa yang mereka tawarkan. Saya memilih Aparu Holiday Tours di kaunter #8. Saya tak cerewet sangat dan setuju dengan pakej yang ditawarkan, boleh dapat diskaun lagi. Kata petugas Aparu Holiday Tours untuk keluarga dengan anak kecil sesuai ke Pulau Sapi kerana pantainya landai dan luas untuk bermain. Bayaran yang dikenakan untuk saya sekeluarga berjumlah RM 268.00 termasuk perkara berikut:-

Tambang bot ke 1 pulau (Pulau Sapi) 2 dewasa + 2 kanak-kanak
Cukai perkhidmatan
Caj terminal RM 7.20 x 2 dewasa dan RM 3.60 x 2 kanak-kanak
Sewa jaket keselamatan RM 5.00, goggle snorkeling RM 10.00 dan tikar RM 5.00
Makan buffet tengahari 2 dewasa + 2 kanak-kanak
Caj masuk pulau RM 3.00 x 2 dewasa (bayar apabila sampai di pulau)

Secara amnya tambang bot untuk Island Hopping ke Taman Tunku Abdul Rahman:-
RM 23 untuk 1 pulau, kanak-kanak RM 18
RM 33 untuk 2 pulau, kanak-kanak RM 23
RM 43 untuk 3 pulau

Kami sampai ke Pulau Sapi pada jam 9.00 pagi dan orang sudahpun ramai. Kalau anda hendak berkelah boleh bawa bekalan sendiri atau beli siap-siap di jeti kerana barang makanan di pulau lebih mahal termasuk juga sewa peralatan snorkeling. Kami menikmati keindahan laut yang jernih dan ikan-ikan yang jinak. Subhanallah, indahnya ciptaan Allah SWT. Suami saya pandai berenang jadi dia pergi ke tengah laut untuk snorkel ikan-ikan yang lebih besar dan berwarna-warni.

Jam 12.00 tengahari kami ke meja yang dikhaskan kepada pelanggan Aparu Holiday Tours untuk hidangan makan tengahari. Menu yang disediakan adalah nasi goreng, maggi goreng, ikan bakar, ayam bakar, sotong bakar, udang bakar, ketam bakar, sayur campur dan salad ayam. Air coca-cola, sirap dan ais berasingan manakala pencuci mulut pula agar-agar pandan, agar-agar mangga dan beberapa jenis kuih serta buah tembikai dan betik. Kami sekeluarga je muka tempatan makan di situ, yang lain muka dari China, mat saleh dan Timur Tengah kerana kebanyakan orang tempatan membawa bekalan sendiri.

Kami berjemur hingga jam 4.00 petang! badan dah kecut kulit dah terbakar, itupun masih rasa tidak puas bermain pasir dan air laut. Yang tak bestnya di pulau ini adalah tempat mandi untuk persalinan adalah open air, secara terbuka. Orang boleh nampak kita mandi di bawah pancuran, macammana nak gosok-gosok badan nak buang pasir yang melekat di celah-celah badan? Lepas mandi di bawah kena naik tangga ke bilik persalinan,  tiada tempat mandi kat atas tu. Tandasnya pula cuma 2 pintu sahaja. Di harap pihak pengurusan pulau dapat menyediakan tempat mandi yang tertutup untuk menjaga aurat dan keselesaan pengguna Muslim. Surau disediakan tetapi tempat wuduk tiada, kena ambil wuduk di pancuran mandi tadi :(

Kami balik ke jeti Jesselton Point dengan bot yang terakhir jam 5.00 petang dalam cuaca hujan. Kalau tertinggal bot yang terakhir ini alamatnya bermalam di pulau la hahaha. Tak nak! Kat situ ada babi hutan dan biawak besar. Bebas je berkeliaran mencari makan. Walaupun ada penghadang di kawasan lopak tempat binatang ini melepak tetapi bila tiada orang, binatang ini keluar menyelongkar sampah.

Semasa mengambil kereta di hadapan jeti, kami dapati ada kertas terselit di bingkai wiper. Alamak! kena saman pulak. Tapi sebenarnya itu adalah kupon parking. Ada lubang-lubang yang ditepuk pada kertas itu mewakili setiap jam. Takpe jangan risau, bawa kupon itu ke pejabat Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan bayar jumlah yang dikenakan. Saya parking hampir 9 jam kena caj RM 13.05. Menurut petugas di kaunter, memang ada anggota Bandaraya yang meronda di kawasan meletak kenderaan dan meletakkan kupon parking kerana di Sabah tidak ada meter parking macam di Semenanjung. Patutlah suami saya kata dia tidak jumpa meter parking semasa meletakkan kereta pagi tadi.

Kemudian kami balik ke hotel untuk membersihkan diri dan berehat sementara menunggu hujan sereyat. Kami keluar makan malam di Medan Selera Anjung Senja lagi tetapi di kedai Lot 10 kerana saya teringin makan pisang cheese yang digembar-gemburkan manakala suami dan anak-anak makan nasi putih dan sotong masak pedas. Makanan laut yang dipamerkan kita boleh pilih dan ditimbang dahulu sebelum dimasak mengikut kemahuan pelanggan. Cadangan hendak melihat matahari terbenam di Tanjung Aru dan menonton pertunjukan air pancut berirama di Taman Perdana terpaksa dibatalkan kerana anak-anak dah mengantuk dan keletihan kerana bermain air.

Tanjung Aru dan Taman Perdana terletak berhampiran Lapangan Terbang Terminal 2 Kota Kinabalu. Taman Perdana ini macam taman rekreasi biasa ada orang jogging dan permainan kanak-kanak. Pertunjukkan air pancut berirama ni diadakan setiap malam sebanyak 4 kali:-
  • 7.00 malam - 7.10 malam
  • 7.30 malam - 7.40 malam
  • 8.00 malam - 8.10 malam
  • 8.30 malam - 8.40 malam
Setakat ini dahulu.

Jumpa lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...