Rabu, 23 April 2014

Bercuti Ke Sabah (Hari Kelima)

Teks: Ruslinda Abdul Jalil

Jika anda datang ke Kota Kinabalu Sabah, tempat yang mesti anda kunjungi adalah Pasar Pilipin yang terdiri daripada Pasar Kraftangan, Pasar Ikan Masin, Pasar Buah serta Pasar Besar ala-ala Pasar Payang Terengganu pun ada. Tempat ini bukan sahaja dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara malahan orang Sabah sendiri pun membeli di sini.

Pasar Kraftangan menjual mutiara, keronsang, cenderamata, beg, fridge magnet, keychain, t-shirt, barang perhiasan, hasil kraf tempatan, karangan laut dan berbagai lagi. Walaupun tawar-menawar tapi harganya masih mahal berbanding di Pasar Malam Sinsuran mungkin kerana tempat ini sudah dikenali ramai.

Pasar Ikan Masin pula menjual rumpai laut berwarna ungu dan hijau, ikan bilis, udang kering, sotong kering, kuih cincin, amplang (keropok), kopi Tenom dan berbagai lagi makanan kering. Saya membeli di kedai dalam #7, nama jurujualnya Carmina. Harga barang yang ditawarkan taklah murah sangat tetapi saya mahu membeli sebagai buah tangan kepada saudara mara dan rakan-rakan di Kuala Lumpur. Antaranya bilis A RM 18 sekilo, bilis kecil RM 25 sekilo, udang kering RM 35 sekilo, kuih cincin dan amplang RM 5 sebungkus, saya juga mencuba ikan pekasam Sabah yang berwarna kuning RM 5 sebungkus (ada 7 ekor ikan kembong kecil) dan banyak lagi.

Selepas memborong makanan kering di Pasar Ikan Masin, saya ke kedai mutiara Jamilah Jewellery di Kompleks Sinsuran bersebelahan Maju Curry House. Boleh dapat separuh harga kerana di sini kedai jualan borong dan yang penting semua barang perhiasan adalah mutiara asli sama ada mutiara air masin atau mutiara air tawar. Selain mutiara, ada juga produk kristal. Hmm, rambang mata dibuatnya.

Mutiara air masin berbentuk bulat dan harganya lebih mahal. Mutiara air tawar paling banyak di jual kerana lebih murah bergantung kepada jenis kraf yang dihasilkan. Mutiara air tawar juga di panggil mutiara jagung kerana bentuknya tidak begitu bulat seakan-akan biji jagung.

Jam 1.00 petang kami sudah berada di Lok Kawi Wildlife Park. Tiket bayaran masuk RM 10.00 dewasa dan RM 5.00 kanak-kanak. Saya nampak kereta tram di luar, ala keretapi zoo tu. Anak-anak pun seronok hendak naik tram macam di Zoo Negara tetapi rosak rupanya. Jadi kami terpaksa berjalan kaki untuk melihat hidupan liar di dalam taman. Tak banyak binatang di sini cuma yang menjadi tarikan adalah Proboscis Monkey berhidung besar tu.

Kemudian kami balik ke Kota Kinabalu untuk makan di Pasar Malam Sinsuran. Walaupun baru jam 4.00 petang orang sudah ramai. Terlalu banyak kedai makan untuk di pilih. Kami mahu makan lobster atau dipanggil udang kara. Gerai yang menjadi pilihan adalah Gerai Sri Samudra. Saya memilih lobster dan ikan kerapu. Kena timbang dulu barulah dimasak mengikut kemahuan pelanggan. Saya hendak cuba makan rumpai laut tetapi takut tak tertelan pula. Menu yang kami pilih adalah lobster masak cili dan kerapu tiga rasa serta minuman dengan harga RM 117.00.

ruslindajalil.blogspot.com
lobster yang manis.

Bila perut sudah kenyang, hati sudah senang kami pun menuju ke Lapangan Terbang Terminal 2 Kota Kinabalu kerana penerbangan ke Kuala Lumpur jam 9.30 malam. Dalam perjalanan saya menghubungi pemilik kereta untuk memulangkan kereta yang disewa. Bagusnya kereta Perodua Viva ini kerana jimat minyak, kami cuma mengisi sekali sahaja di Ranau.

Bagi anda yang bercadang membeli banyak barang, pastikan sudah membeli baggage lebih supaya tidak membayar 2x ganda di lapangan terbang nanti. Saya awal-awal lagi sudah membeli baggage untuk balik 60kg! Hambik, ye la cer fikir lepas shopping kan beg berat sebab beli buah tangan lagi, ikan bilis, ikan duyung eh! bukan, ikan masin, udang kering, t-shirt, kain baju basah dan macam-macam lagi la. Berkotak-kotak nanti terlebih berat macam mana? Tapi apabila ditimbang di lapangan terbang tak sampai pun 60kg cuma 44kg sahaja. Takpe buat persiapan awal supaya tenang fikiran.

Selesai sudah percutian saya bersama keluarga di Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Perbelanjaan selama 5 hari 4 malam disana untuk sewa kereta, hotel, makan, makanan ringan, minyak kereta, tiket masuk, tiket penerbangan pergi balik, buah tangan berkotak-kotak dan lain-lain berjumlah dalam lingkungan RM 4,000.00. Jika anda merancang untuk bercuti ke mana sahaja, mulakan menabung dari sekarang dan merancang perjalanan anda.

Jumpa lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...