Sabtu, 19 April 2014

Bercuti Ke Sabah (Hari Ketiga)

Teks: Ruslinda Abdul Jalil

Jam 8.00 pagi kami dah check-out dari hotel dan berangkat ke Kundasang. Perjalanan memakan masa 3 jam atau lebih kerana kami singgah di beberapa tempat untuk mengambil gambar kenangan.

Kami terlepas pandang Rumah Terbalik yang terletak di sebelah kiri jalan sebelum simpang ke Pekan Tamparuli jadi kami terus ke Jambatan Tamparuli. Anda akan nampak dua buah jambatan, satu jambatan konkrit untuk laluan kenderaan dan satu lagi yang tergantung sebelah kiri itulah Jambatan Tamparuli. Jambatan konkrit untuk laluan kenderaan. Sekiranya ada kenderaan dari arah depan kita kena tunggu hingga kenderaan yang terakhir barulah kita boleh jalan kerana laluannya sempit.

Menurut cerita, jambatan gantung ini bukanlah yang asal dan sudah lama runtuh akibat banjir besar. Jambatan baru ini dibina menggunakan besi pada keseluruhan bahagian kecuali lantai masih dialas kayu. Namun ada beberapa bahagian lantai kayu yang sudah reput dan berlubang, keadaan ini berbahaya jika orang yang lalu tidak perasan dan terpijak bahagian itu. Kemudian kami bersarapan di Restoran Umi berdekatan jambatan. Saya meminta nasi goreng kampung dengan taburan ikan bilis kecil goreng. Sedap bah. Di sekitar Pekan Tamparuli ini ada orang berjual macam pasar pagi, ada kedai runcit dan kedai menjual hasil laut.

Apabila meneruskan perjalanan, anda boleh singgah ke Bundu Tuhan jika ingin menikmati suasana perbukitan. Di sepanjang perjalanan kami dapati banyak gereja dan anjing berkeliaran. Anda akan jumpa beberapa kedai makanan panggang tetapi berhati-hati kerana mereka menjual 'sinalau bakas' iaitu babi hutan panggang. Sampai di Pekan Nabalu suami saya merakamkan gambar persekitaran yang berbukit-bukau dan nampak sayup jalanraya di bawah bukit sementara saya pula mencuci mata dengan kedai cenderahati yang kebanyakannya menjual 7 pcs keychain = RM 10, gelang manik, beg, t-shirt dan jangan lupa membeli nenas di sini kerana buahnya sangat manis. Patutlah ada replika nenas yang besar di hadapan kedai cenderahati.

Kami sampai di Taman Kinabalu hampir jam 12.00 tengahari. Bayaran masuk di kenakan RM 3.00 bagi seorang dewasa dan simpan tiket ini untuk mendapat pengecualian bayaran masuk ke Poring Hot Spring pada hari yang sama ye. Kalau esok baru pergi Poring Hot Spring kena beli tiket baru di sana. Hajat hati hendak melihat puncak Kinabalu tetapi kabus tebal. Kata seorang pakcik sukarelawan di Timpohon View, kalau hendak melihat puncak Gunung Kinabalu waktu yang paling jelas adalah antara jam 6 - 8 pagi kerana cuaca terang dan tidak berawan. Selepas dari waktu itu gunung akan diselaputi kabus.

Timpohon View adalah tempat pendaki masuk untuk memulakan pendakian. Bagi yang tidak mendaki macam saya ni tak boleh masuk. Kami naik ke pelantar kayu yang di bina untuk melihat suasana gunung. Tapi hanya nampak pokok-pokok sekeliling je sebab kabus tebal, cuaca pun macam nak hujan. Anda akan jumpa tupai yang jinak mengambil makanan dari tangan anda jadi bawalah makanan ringan. Anak saya teruja memberi tupai itu makan buah epal tetapi terlepas dari tangan. Semasa menggunakan tandas, air paip di sini sejuk macam ais!. Di luar Taman Kinabalu ada tempat parking yang luas dan jika kita ambil gambar dari situ kita dapat lihat Gunung Kinabalu dengan jelas jika cuaca tidak berkabus.

ruslindajalil.blogspot.com
Muka seronok dan takut :-)
Apabila sampai ke Pekan Kundasang kami terus ke Desa Dairy Farm untuk melihat ladang lembu dan proses memerah susu. Perjalanannya agak mencabar kerana mendaki bukit. Tetapi pemandangan di sini sangat cantik berlatarbelakang bukit-bukau yang menghijau, orang kata ala-ala New Zealand gitu! walaupun menusuk bau lembu dan najisnya. Bayaran masuk yang dikenakan seperti dalam gambar. Sekurang-kurangnya jam 2.30 - 3.00 petang anda mesti sampai ke sini supaya tidak ketinggalan melihat proses memerah susu lembu. Punya la ramai orang sampai kami tidak sempat merasa susu segar Desa Dairy Farm, yang tinggal hanya dadih dan aiskrim susu berperisa. Semua susu sudah habis dijual! :(.
ruslindajalil.blogspot.com
Bayaran Desa Dairy Farm

Kemudian anda boleh ke Kundasang War Memorial yang terletak di bahagian belakang deretan kedai Pekan Kundasang untuk melihat tugu peringatan askar-askar Australia dan British yang ditawan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Petikan yang tercatat pada tugu peringatan yang dipamerkan di pintu masuk tugu:-

"Semasa Perang Dunia Kedua, tawanan perang tentera Australia dan British dipenjarakan di Sandakan oleh pihak tentera Jepun. Tawanan perang pertama tiba dari Singapura dan mereka dipaksa untuk membina landasan kapal terbang tentera Jepun pada bulan Julai tahun 1942 dan menjelang pertengahan tahun 1943 lebih dari 1800 orang tawanan perang Australia dan 750 orang British menjadi buruh paksa di kem tahanan ini". Sumber dari sini kerana saya tidak singgah ke Kundasang War Memorial. Di Pekan Kundasang saya membeli sayap ayam yang sedap dengan harga RM 1.80 setiap satu. Saya beli 10 ketul untuk diratah sampai malam. Kedainya terletak di luar kedai nasi ayam.

Saya melalui pasar sayuran di Pekan Kundasang yang menjual macam-macam sayuran segar. Suasana macam di pasar Cameron Highlands. Ada jual kerepek bayam, buah mentega, jeruk, buah-buahan dan banyak lagi. Kalau kena musim anda cuba tanya buah TARAP ala-ala rasa durian dan cempedak.

Kami meneruskan perjalanan ke Ranau untuk makan malam dan menginap di homestay Sabah Baru Motel dengan harga RM 88.00. Homestay ini diusahakan oleh penduduk Kampung Kiaburi dan pemiliknya En. Ooi tinggal di rumah sebelah sahaja. Beliau menjemput kami di Pekan Ranau dan membawa kami ke homestay tersebut. Anak-anak pun sudah keletihan dan mula buat perangai cantik.

Tenaga badan, bateri telefon dan kamera perlu dicaj semula untuk meneroka hari esok.

Jumpa lagi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...