Selasa, 15 April 2014

Bercuti Ke Sabah (Hari Pertama)

Teks: Ruslinda Abdul Jalil

Cerita ini ditulis berdasarkan pengalaman saya melancong ke Sabah. Bagi anda yang pernah ke Sabah, pengalaman anda mungkin berbeza daripada penceritaan saya. Itu pengalaman masing-masing kan. Selamat membaca.

Penerbangan kami pada 27/03/2014 jam 10.20 pagi dari LCCT Sepang. Jadi kami harus berada di airport sekurang-kurangnya 2 jam sebelum penerbangan untuk urusan check-in bagasi dan sarapan. Malam tu tak boleh tidur sebab teruja nak ke Sabah! Pagi tu saya bangun jam 5.30 pagi untuk siapkan anak-anak dan periksa barang yang patut di bawa. Mujurlah jiran sebelah rumah, Syafiq dan Nadia tolong hantar kami ke LCCT jadi kami tidak perlu tinggalkan kereta di parking LCCT atau naik teksi yang tambangnya tentulah lebih dari RM 50.00 (isi minyak kereta lagi berbaloi).

Perjalanan dari rumah saya ke LCCT memakan masa 1 jam, boleh juga terlelap dalam kereta kalau tak di bawa berbual. Nasib baik Syafiq dan Nadia tahu selok-belok urusan di kaunter LCCT, saya mana tau!. Mula-mula kena scan dulu semua beg yang di bawa, mana tahu ada bawa cecair bahaya ke, mercun ke, budu ke :) kalau pecah botol nanti satu kabin semerbak bau. Kemudian pergi ke kaunter pemeriksaan tiket dan timbang beg. Saya dah beli baggage siap-siap sebanyak 20kg. Kalau beg anda terlebih berat maka bersedialah untuk mengeluarkan duit poket kerana bayaran di kaunter lebih mahal 2x ganda daripada harga online. Malam sebelum perjalanan anda timbang dulu beg-beg tu. Alah, guna je penimbang berat badan tu ha! Dan lagi satu, anda buat sendiri web check-in di laman web AirAsia dan cetak boarding pass tu. Kalau tidak kena cetak di pejabat AirAsia dan akan dicaj RM 2.00 setiap seorang dalam boarding pass tu.

Selesai urusan bagasi, kami bersarapan di McDonalds untuk mengalas perut. Kedai makan yang lain pun ada di LCCT tapi anak-anak kalau nampak McDonalds je memang berhantu, sebab nak makan kentang goreng. Tapi pagi-pagi ni mana ada kentang goreng, hash browns adalah. Padahal dalam flight nanti pun saya ambil set makanan, dasar perut stokin kan!. Bila perut dah kenyang kami pun masuk ke balai polis eh! balai berlepas. Anda hendaklah letak beg tangan, beg bimbit, dompet, telefon dan buka tali pinggang serta semua barang dalam poket ke dalam bakul yang disediakan untuk di imbas dan tubuh anda akan diperiksa oleh polis bantuan (mengikut jantina masing-masing) untuk mengesan barang terlarang. Tunggu panggilan penerbangan anda. Kalau ambil AirAsia Travel Insurance semasa menempah tiket, apabila flight delay melebihi 2 jam pihak insuran akan membayar RM200 seorang.

Apabila sampai ke Terminal 2 Kota Kinabalu, hujan sedang turun dengan merdunya menyambut ketibaan kami. Ada kaunter khas untuk warganegara Malaysia dan warga asing. Di kaunter itu nanti petugas Imigresen akan minta kita tunjukkan Mykad dan Mykid untuk dapatkan pas lawatan selama 90 hari. Jaga elok-elok pas tu, kalau hilang nanti jadi warga asing tau hehehe :p. Kami terus dapatkan Encik kereta yang sedang menunggu dan mulalah menjelajah bandar Kota Kinabalu. Untuk makluman, jalanraya di sini banyak bulatan. Untuk mencari hotel penginapan iaitu Hotel Hii-5 di Jalan Laiman Diki berdekatan Kampung Air, lima kali pusing baru jumpa sebab hotel tu terletak dalam kawasan rumah kedai. Masa check in hotel boleh je bayar deposit dulu tapi saya terus bayar habis supaya senang urusan. Biliknya bersih dan selesa. Cuma di kaunter depan hotel agak becak dan kotor bila orang keluar masuk kerana tidak diletakkan pengelap kaki.

Di sebabkan hujan belum berhenti, kami berehat sahaja di bilik dan keluar jam 7.30 malam sebab perut lapar. Kami berjalan kaki ke Restoran Sempelang di hujung jalan berhadapan Centrepoint. Kami order nasi putih, ikan putih bakar, tomyam seafood dan baby kailan. Harganya berpatutan tapi masakannya tak kena dengan selera kami sebab tak pedas, makanan pun tak habis setakat mengalas perut je. Lagipun orang Sabah tak makan pedas. Mereka suka makan sup, semuanya di makan dengan sup. Selepas makan cadangnya nak meronda Pasar Malam Kampung Air nak cari cenderahati / t-shirt dan Pasar Malam Sinsuran untuk makan seafood. Tapi tak jadi kerana hujan masih belum berhenti. Saya bimbang anak-anak ditimpa demam sebab esok nak pergi mandi laut. Yea yea mandi laut :).

Dalam perjalanan balik ke hotel, saya singgah beli losyen sunblock di kedai Serbaneka Orange 24 jam. Di Kota Kinabalu ni memang banyak kedai Serbaneka Orange 24 jam, ala-ala 7-Eleven jugak. Sampai di hotel sementara nak mengantuk, kami sekeluarga boleh bedal biskut dan maggi cup pulok hahaha. Hujan la wei, lapar!

Oh ya, bagi pekerja di jabatan kerajaaan ada sesetengah hotel yang menyediakan government rate. Jadi anda kena tanya hotel berkenaan dan bawa salinan slip gaji dan kad pengenalan untuk mendapatkan potongan harga.

Jumpa lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...