Sabtu, 12 April 2014

Pengalaman

Bismillah hirrahman nirrahim.

Saya mahu kongsikan pengalaman kerja yang pernah saya lakukan. Bukanlah kerja yang hebat tetapi saya belajar menghargai wang titik peluh dan bijak berbelanja.

Selepas SPM tahun 1996, keputusan saya tak cemerlang sangat tapi masih memenuhi syarat untuk sambung belajar di IPT awam. Namun bila saya mohon IPT awam, yang membalas tawaran adalah IPT swasta. Abah saya tak mampu nak sediakan yuran pendaftaran IPT swasta masa tu sebab kena tanggung anak-anak lain yang masih bersekolah dan yang masih kecil. Masa tu saya baru 7 beradik tapi sekarang ni tahun 2014 saya dah ada 12 beradik. Fuh, riuh-rendah! akak yang sulung tau.

Jadi saya pun bawa diri menceburi pekerjaan pertama sebagai krew McDonalds di Sungai Petani. Pengurus ajar supaya respon kepada semua komunikasi yang berlaku dalam McD tu, contohnya kalau ambil ayam yang terakhir atas tray kena bagitau orang dapur 'PC two pieces out, zero' supaya orang dapur tahu ayam goreng dah habis dan akan penuhkan semula tray tu atau goreng yang lain. Dan orang dapur pun kena respon dengan menjawab 'thank you'. Seronok sebab pengalaman pertama alam pekerjaan kan, rasa bersyukur terima duit gaji dan rasa bagaimana penat lelah menggunakan tulang empat kerat untuk mendapatkan wang. Tapi tak kerja lama pun, tiga bulan kemudian saya berhenti.

Melepak di rumah sekejab, bila rasa boring saya pergi kerja kilang di Taman Perindustrian Bakar Arang iaitu kilang sarung tangan, kilang telefon, kilang pemasangan televisyen, kilang kasut roda (bahagian moulting-panas giler dalam tu). Semua tempat ni tak tahan lama juga, lepas 1-2 bulan berhenti lagi. Apa nak jadi dengan hang ni Linda!.

Kemudian saya dan seorang kawan bernama Arzylina pergi temuduga pramugari MAS yang diadakan di sebuah hotel di Pulau Pinang. Selepas pemeriksaan fizikal dan berat badan, tapi saya tak lepas tang umur. Kakak cantik tu cakap 'minta maaf dik, tahun depan cuba lagi ye sebab adik belum cukup umur. Kami memerlukan 18 tahun ke atas sahaja'. Kecewa sungguh walaupun saya merayu sebab ada 2-3 bulan je lagi saya sampai umur 18 tahun (saya lahir bulan November) tapi tak dilayan sebab itu prosedur MAS.

Memang dah disusun oleh Allah SWT, di hotel yang sama ada temuduga pekerja baru untuk cawangannya di Cameron Highlands. Saya pun mencuba nasib dan di temuduga oleh Mr. Ong. Saya dan kawan saya tu dapat jawatan receptionist di sana. Wah, teruja sangat nak kerja di tempat sejuk :). Tapi bila sampai masa nak pergi, kawan saya kata mak dia tak bagi sebab takut jadi pelik-pelik. Masa tu mak dia ingat Cameron Highlands sama macam Genting Highlands kononnya tempat berpoya-poya. Saya pun fikir macam tu tapi saya tawakal dan berdoa supaya dilindungi Allah. Jadi berangkatlah saya seorang diri merantau ke negeri orang. Naik bas ekspres Kurnia Bistari yang lusuh tu. Seram! Dah la ikut jalan bengkang-bengkok kat Tapah tu. Namun bila nak dekat bulan puasa saya berhenti kerja sebab bos kata hari raya tak boleh cuti kerana saya kerja tak sampai 3 bulan. Oh tidak! saya tak mahu menangis dengar takbir raya :)

Menganggur lagi saya. Kemudian terlihat iklan sebuah syarikat berhampiran rumah di Sungai Petani memerlukan Eksekutif Jualan. Saya ingatkan kerja dalam pejabat, eksekutif kan! (itu pemahaman saya dulu) rupanya kena keluar buat jualan. Ala, macam jurujual yang datang kat kita masa tengah makan kat kedai tu. Nak ke sesuatu lokasi untuk menjual barang kena naik van ramai-ramai. Hari pertama keluar jual buku kanak-kanak di Alor Setar dan hari kedua pergi jual wiper kereta di Taman *** Pulau Pinang. Dapat la upah RM10 sehari x 2 hari = ?. Penat tau keluar dari pagi sampai petang baru balik tapi dapat komisen ciput, sebab budak baru belajar kan tak banyak jualan. Tapi dah taubat tak nak kerja macam tu lagi, letih sangat.

Dengan duit simpanan daripada kerja-kerja yang pernah dilakukan tu, saya masuk kelas sepenuh masa Sijil Komputer Microsoft di Institut Hasani. Kat Sungai Petani memang top Institut Hasani sebab dia ada gedung buku (semua jenis buku ada), alatulis, kursus komputer, kursus kahwin dan macam-macam lagi. Masa sekolah dulu suka sangat bila ada Pesta Buku Hasani sebab jualan buku murah-murah.

Selepas graduate (chewah!) selepas tamat kelas komputer, saya tak duduk diam. Saya pergi kerja sebagai juruwang di supermarket PTK. Tak lama jugak!. Lepas tu saya tolong abah dan umi berniaga di pasar malam Taman Keladi, Taman Bakar Arang, Taman Nilam dll. Umi orang Terengganu dan pandai buat laksam, jadi kami menjual laksam, laksa, nasi kerabu dan air. Tapi saya ni pemalu orangnya. Malu nak panggil orang datang membeli 'mai mai kakak abang, laksam ada laksa ada nasi kerabu ada ayaq pun ada!' :-p

Semasa bekerja juruwang di supermarket PTK, ada seorang kakak ni anak pegawai di sebuah jabatan kerajaan. Nama dia Sharbalinda bt Abu Bakar. Dia galakkan saya pergi temuduga di jabatan kerajaan yang diadakan di pekan Sungai Petani. Saya pun mencuba nasib dan berserah kepada Allah SWT. Hampir setahun juga barulah saya menerima tawaran untuk menjalani latihan dan seterusnya bekerja sampai sekarang.

Itulah pengalaman kerja yang pernah saya lakukan. Pengalaman ini saya jadikan kenangan dan iktibar. Bukan semua yang kita impikan akan menjadi kenyataan kerana Allah SWT akan sentiasa memberikan ujian kepada kita untuk menegur kealpaan semasa kita selesa dengan nikmat dunia dan terlupa kepadaNYA.

Jumpa lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...