Isnin, 4 Ogos 2014

Pap Smear

Teks: Ruslinda Abdul Jalil
Gambar: Google

Sehari sebelum raya, saya terima panggilan telefon dari klinik kesihatan. Cuak! Ingatkan ada hal kecemasan. Rupanya nurse suruh datang buat ujian pap smear. Kali terakhir saya buat ujian pada tahun 2011, itupun sebab terpaksa kerana saya ikut perancang keluarga klinik ini. Selepas melahirkan anak kedua pada Disember 2010, saya dinasihatkan merancang keluarga kerana jarak usia anak agak rapat. Tahun pertama saya ambil Noriday kerana masih breastfeed dan tahun berikutnya saya diberi Rigevidon. Saya dah berhenti mengambil perancang awal tahun ini kerana bercadang untuk menambah ahli keluarga lagi.

Anda dah buat ujian pap smear? Takut dan ngeri? Mari saya ceritakan pengalaman saya. Walaupun malu tetapi demi kesihatan jangka panjang semua wanita mesti menjalani ujian ini. Cuma 5 minit sahaja tanpa bius dan bedah. Tarik nafas dan bertenang ok. Prosedur ini tidak menyakitkan cuma rasa tidak selesa. Ingat, ujian ini penting untuk mengesan kanser serviks atau kanser pangkal rahim. 

Baring dan ikut arahan doktor. Untuk mengurangkan stress anda, doktor akan mengajak anda berbual jadi anda akan terlupa seketika. Doktor akan memasukkan spekulum iaitu alat seperti paruh itik ke dalam laluan rahim (melalui faraj) lalu meletakkan berus 'cyto' ke dalamnya. Berus 'cyto' yang kecil itu digunakan untuk mengikis sedikit tisu pada pangkal rahim dengan memusingkannya 360 darjah dan sel yang diperoleh diletakkan di dalam botol khas lalu dihantar ke makmal untuk mengesan tisu-tisu yang abnormal atau dijangkiti HPV dan berpotensi untuk menjadi kanser.

Sel serviks biasanya tidak berubah menjadi sel kanser dalam masa semalaman. Sel normal akan berubah dalam jangka masa tertentu di antara dua hingga 10 tahun sebelum menjadi sel kanser.

Ujian pap smear secara berkala berpeluang untuk mengesan sel-sel yang berpotensi menjadi sel kanser dan rawatan awal memberi peluang yang cerah untuk sembuh. Wanita yang pernah melakukan hubungan seks perlu menjalani ujian pap smear terutamanya mereka yang berusia 20 hingga 65 tahun setiap dua tahun sekali untuk mengesan jangkitan Human Papillomavirus (HPV) ketika hubungan intim. HPV merupakan virus yang biasa terjadi dan selepas ia dikesan melalui pap smear, ia boleh diubati dengan rawatan biasa bagi mengelakkan ia semakin teruk lalu berubah menjadi kanser. Semasa prosedur pap smear, doktor juga boleh mengesan polip dan jangkitan lain.

Jika terlewat, kanser ini boleh menyebabkan keseluruhan rahim dibuang dan wanita itu tidak boleh mengandung lagi. 

Baca lagi di  sini.

Jumpa lagi :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...