Isnin, 12 Januari 2015

Menang Rumah Lelong

Teks: Ruslinda Abdul Jalil
Gambar: Sendiri

Rumah Lelong # 4.

Bagi pembaca yang belum tahu pangkal cerita ini, anda boleh baca entri #1, entri #2 dan entri #3.

Pada 18 November 2014, saya ke Sejahtera Auctioneer untuk membida sebuah rumah lelong. Atas kertas, proses lelongan akan dimulakan pada jam 2.30 petang. Saya sampai ke tempat lelongan jam 1.45 petang selepas berpusing-pusing mencari lokasinya. Nasib baik membonceng motor dengan suami. Rupanya nombor pejabat di Jalan Mahkota off Jalan Jejaka ini disusun ikut nombor genap di sebelah kanan manakala nombor ganjil di sebelah kiri. Pening mak cari tau.

Saya terus mendaftar di kaunter dengan menulis nama dan menyerahkan bank draf kepada kerani pendaftaran. Saya diberi papan bida bertuah, no. 021.


Saya perhatikan tidak ramai orang yang datang ke sini, tak penuh kerusi pun. Ada yang duduk berkumpulan, berbincang/berbual dan saling bertukar senyuman.

Saya tidak kenal sesiapa disitu jadi saya hanya duduk sahaja sementara menunggu agen saya sampai. Saya tidak mahu diganggu oleh ‘ulat’. Sebenarnya saya boleh serahkan kepada agen untuk masuk bida bagi pihak saya tetapi saya mahu merasai dan melihat sendiri suasana membida ini sebab saya tidak pernah masuk bida rumah lelong.

Ada satu insiden telah berlaku. Sebelum lelongan dimulakan, seorang lelaki Cina telah menyuarakan rasa tidak puashati kepada Pegawai Pelelong (yang pegang tukul tu) kerana dia tidak dibenarkan mendaftar dan dia tidak tahu kaunter pendaftaran ditutup pada jam 2.00 petang. Katanya sebelum ini dan di tempat lelong yang lain masih boleh mendaftar walaupun lagi 5 minit sebelum lelongan bermula. Entahlah, kita kena ikut cara dan peraturan di sesuatu tempat. Lain padang lain belalang kan. Jadi, untuk mengelakkan perkara seperti ini berlaku adalah lebih selamat jika kita datang lebih awal.


Acara lelongan diteruskan dengan 12 buah rumah. Sekejap sahaja dah selesai kerana kebanyakannya menang tanpa bertanding, termasuk saya :P

Di pendekkan cerita, saya menang rumah itu dengan harga reserved. Alhamdulillah. Kerani Sejahtera Auctioneer menguruskan dokumentasi yang perlu saya tandatangan sebagai pembeli yang berjaya. Saya dikehendaki membayar RM120 untuk duti setem. Kontrak yang asal akan diserahkan esok dan agen saya akan datang mengambilnya untuk diserahkan kepada saya.

Di samping itu, jangan lupa menguruskan bayaran kepada agen sekiranya anda mengupah agen. Dalam kes saya, bayaran agen sebanyak RM 1,500.

Hampir jam 4.00 petang semuanya selesai dan saya masuk semula ke pejabat meneruskan tugas.

Keesokan harinya, agen menyerahkan kontrak asal kepada saya. Dengan kontrak ini maka saya mesti menguruskan pinjaman bank untuk membayar baki harga rumah tersebut. Walaupun ada wang simpanan, tapi saya tidak mahu membeli rumah secara tunai. Sayang sebab itulah pelaburan / simpanan saya setiap bulan. Saya akan mencari bank yang menawarkan faedah terendah (ada tolak @ minus) dan tempoh yang paling panjang supaya bayaran bulanan rendah, kerana rumah ini saya beli sebagai aset bukan untuk duduk sendiri. Tempoh yang saya ada untuk menyelesaikan baki harga rumah lelong hanya 90 hari sahaja.

My Contract Memorandum
Bermulalah pencarian saya untuk mendapatkan pinjaman perumahan yang menawarkan tempoh paling panjang dan bayaran bulanan yang paling sikit dengan kadar faedah terendah.

Nanti saya buat kronologi supaya kita sama-sama dapat lihat perkembangan proses membeli rumah lelong ini. Saya pun rasa teruja dan bimbang. Saya berdoa semoga Allah SWT permudahkan segala urusan saya. Aamin.

Saya berharap catatan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Mungkin di masa akan datang saya juga akan merujuk semula catatan ini. Mana tahu jika dimurahkan rezeki dapat membeli rumah lelong kedua pula. Insya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...